Tahukah anda bahawa industri kewangan secara keseluruhan terbahagi kepada 3 iaitu pengumpulan harta, perlindungan harta dan perwarisan harta. Ramai orang mengumpul harta untuk kehidupan dan kesenangan hari-hari yang mendatang.Dan ramai juga yang mengambil pelbagai jenis takaful dan insuran untuk lindungi harta mereka. TETAPI ramai yang tidak ambil peduli malah tidak ada perancangan lansung untuk harta yang akan ditinggalkan selepas kematian mereka. WASIYYAH SHOPPE merupakan satu-satunya syarikat yang memberi kemudahan yang tidak ada pada syarikat lain.Jadi JANGAN TUNGGU LEBIH LAMA UNTUK MEMBUAT SEBARANG KEPUTUSAN KERANA JAMINAN YANG PASTI MENANTI ANDA..

Wednesday, November 10, 2010

Kenali Apakah Itu Harta Sepencarian

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan: 

“Harta yang diperoleh bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keda-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak”.

Atau boleh diberi definisi yang lebih jelas:

Harta sepencarian ialah mana-mana harta sama ada harta alih (harta yang boleh
dipindahkan seperti wang ringgit, kenderaan dan peralatan rumah) atau harta tidak alih
(harta yang tidak boleh dipindahkan seperti tanah dan rumah) yang diperoleh oleh suami isteri selama perkahwinan mereka.

Harta sepencarian (MATRIMONIAL PROPERTY) merupakan satu peruntukan undang-undang yang berasal daripada Adat Melayu pada asalnya. Disebabkan tidak terdapat apa-apa pertembungan dengan undang-undang syarak, maka diperuntukkan undang-undang untuk harta sepencarian. Jika dikaji kita akan mendapati terdapat keserasian dengan maqasid (matlamat) syarak itu sendiri pada pelaksanaan Matrimonial property ini. Maka di Malaysia MATRIMONIAL PROPERTY telah diterima sebagai salah satu daripada undang-undang Islam.

Harta sepencarian dibenarkan untuk dituntut oleh pada isteri pada dua keadaan;
1)     Berlaku perceraian
2)     Berlaku kematian. Dibahagikan harta sepencarian terlebih dahulu sebelum dibahagikan harta faraid.

HAK-HAK ISTERI APABILA BERCERAI

1)     Mutaah
2)     Nafkah Iddah
3)     Hadanah
4)     Nafkah Anak
5)     Harta sepencarian
6)     Tunggakan hutang. Jika suami belum melunaskan mahar atau seumpamanya.

DALIL PENSYARIATAN HARTA SEPENCARIAN

Firman Allah Taala di dalam surah An-Nisa’ ayat 32;

وَلا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

BAGAIMANA HARTA PENCARIAN DIBAHAGIKAN 

Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwqn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan: 

Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;
Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

Jika berlaku adat kebiasaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.

Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:

“Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budi bicaranya”. Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya”.

APAKAH SURI RUMAH TANGGA SEPENUH MASA BERHAK MEMOHON HARTA SEPENCARIAN ?

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian. Fakta kesnya adalah seperti berikut: 

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperoleh semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila dia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoran dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan: 

“Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperoleh pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian”. 

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian: 

“Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumah tangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami”.
Ini bermakna seseorang suri rumah tangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya. 

KESIMPULAN

Walaupun terdapat khilaf di kalang Fuqaha sama ada Harta Pencarian merupakan hak syarie ataupun tidak. Kita mendapati pelaksanaan sistem ini banyak memberi kebaikan kepada institusi kekeluargaan lebih-lebih lagi berlaku banyak perceraian pada masa hari ini. Berdasarkan konsep ijtihad yang jelas yang ditinggalkan Ulama terdahulu, tidak terdapat satu kesalahan untuk menjadikan sistem ini sebagai salah satu sistem perundangan Islam. Pelaksanaan sistem sebegini merealisasikan sistem keadilan yang diinginkan oleh agama. Bukan di sini ruangnya untuk membahaskan apakah syarie atau tidak sistem ini. Kita berpegang dengan ketetapan ahli majlis fatwa yang diduduki mereka yang berkeahlian. Persoalan yang diajukan penanya tidak lebih apa itu harta pencarian dan cara pembahagiannya.  

Dengan pelaksanaan sistem ini juga, suami akan lebih bertanggungjawab kepada para isteri dan keluarga. Ada kalanya pengorbanan isteri terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Ada kes para isteri sanggup meninggalkan kerjaya yang hebat hanya semata-mata ingin menjaga keluarga. Ada juga yang sanggup meninggalkan pengajian demi memberi laluan kepada suami meneruskan pengajian. Sanggup memikul urusan rumah tangga tanpa bantuan suami, agar suami berjaya dengan kerjaya. Hakikatnya semua kejayaan ini tidak mampu dicapai tanpa bantuan daripada isteri yang mendampingi. Juga terdapat kisah, saham syarikat terpaksa diserahkan kepada banyak pemilik (faraid) setelah kematian suami. Akhirnya lumpuh syarikat tersebut. Banyak contoh lagi yang boleh disebut berhubung keadaan ini.

Walaupun begitu terdapat juga kes, tuntutan kes pencarian yang melampaui daripada batasan sewajarnya. Perkara ini mampu diselesaikan dengan sistem kehakiman yang sempurna dan kosong daripada kecacatan.
Walau bagaimanapun hakikat perkahwinan yang terbina bukan di atas dakwaan mendakwa tetapi sebuah perkongsian di antara dua manusia.  

Allahu A’lam