Tahukah anda bahawa industri kewangan secara keseluruhan terbahagi kepada 3 iaitu pengumpulan harta, perlindungan harta dan perwarisan harta. Ramai orang mengumpul harta untuk kehidupan dan kesenangan hari-hari yang mendatang.Dan ramai juga yang mengambil pelbagai jenis takaful dan insuran untuk lindungi harta mereka. TETAPI ramai yang tidak ambil peduli malah tidak ada perancangan lansung untuk harta yang akan ditinggalkan selepas kematian mereka. WASIYYAH SHOPPE merupakan satu-satunya syarikat yang memberi kemudahan yang tidak ada pada syarikat lain.Jadi JANGAN TUNGGU LEBIH LAMA UNTUK MEMBUAT SEBARANG KEPUTUSAN KERANA JAMINAN YANG PASTI MENANTI ANDA..

Thursday, October 7, 2010

Hibah Dalam Konteks Operasi Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Hibah secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.

Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang. (riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i)

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah.

Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara.



Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.

Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:

1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.

Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang; dan

5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik.

Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif.

Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.

No comments:

Post a Comment